Monday, May 26, 2008

Palestin dan Seluruh Umat Islam

WASIAT DR. SAYYID NUH BERKENAAN ISU PALESTIN




Sejak 15 Mei yang lalu, telah genaplah 60 Tahun Nakbah (bencana/malapetaka besar) yang berlaku di Palestin. Hal ini telah menunjukkan kepada kita betapa sedikitnya usaha kita dalam membantu pembebasan rakyat Palestin. Di sini ada dinukilkan wasiat Dr. Sayyid Nuh berkenaan isu Palestin sebelum beliau kembali ke rahmatullah untuk dijadikan pedoman buat diri kita dan seluruh umat Islam khususnya. Hayatilah wasiat ini dengan sepenuh jiwa dan perasaan serta dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

“Al-Aqsa adalah amanah di atas leher umat ini bermula sejak peristiwa Rasulullah s.a.w. isra’ dan mikraj. Ia adalah amanah yang kita tanggung dan kita masih menanggungnya. Sebarang kecuaian di dalam amanah ini akan membuka pintu kejahatan yang tiada batasnya di dunia. Ada pun di akhirat kita akan ditanya oleh Tuhan, Empunya segala kemuliaan tentang ilmu yang kita ketahui dan kewajipan kita terhadap al-Aqsa.

“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka semuanya (pada hari kiamat kelak) terhadap apa yang mereka ketahui.” (Al-Hijr: 92).

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba di hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara; Tentang umurnya ke mana dihabiskan? Tentang masa mudanya ke mana dihabiskan? Tentang hartanya dari mana hasilnya dan ke mana dibelanjakan? Tentang ilmunya apa yang diamalkan dari ilmu itu.” (Riwayat Tobroni)

Saya berharap agar kamu meletakkan perhitungan terhadap apa yang akan saya katakan. Saya tahu kamu mengetahuinya tetapi saya hanya ingin mengingatkan sahaja.

Saya mengingatkan kamu semua tentang kewajipan menerangkan kepada manusia nilai al-Aqsa, kedudukannya di dalam jiwa umat dan kewajipan umat terhadapnya. Jangan jemu jika kamu terpaksa memberikan ceramah sekali atau dua kali atau tiga kali, khutbah sekali atau dua kali atau tiga kali dan kelas pengajian sekali atau dua kali atau tiga kali. Apa yang penting adalah kamu mesti bersungguh-sungguh menerangkan isu ini sehingga manusia mengetahui nilai al-Aqsa.

Kamu mesti menerangkan kepada manusia bahaya yang menunggu jika kita kehilangan al-Aqsa dan Palestin. Pintu kejahatan akan terbuka. Negara, harta, jiwa dan maruah umat Islam akan dicabuli di hadapan musuh perampas yang tidak akan merahmati sesiapa pun. Umat Islam mesti memahami bahaya tersebut. Selagi mana mereka tidak memahaminya, mereka tidak akan bergerak dan tidak akan bangun menunaikan tanggungjawab mereka.

Perlu disedarkan para pemerintah. Mereka adalah orang-orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri mereka dan diri anak-anak umat ini dan terhadap bumi yang suci. Tanggungjawab mereka berat di hari kiamat nanti. Mereka perlu bersegera menunaikan tanggungjawab ini. Kita perlu mengingatkan mereka bahawa walau pun mereka berlembut dan berdiplomasi dengan musuh dan mengorbankan agama ini, akhirnya mereka akan dipijak juga oleh kaki musuh. Itu yang akan berlaku selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Allah dan tidak berusaha untuk memelihara bumi yang suci ini.

Saudara-saudara kita mesti berkata kepada umat Islam: “Tunjukkan kemarahan anda sekarang.” Jika kemarahan ini tidak ditunjukkan sekarang, bila ianya akan ditunjukkan? Demonstrasi adalah hak yang dibenarkan bagi semua bangsa di dunia. Umat Islam mesti menunjukkan kemarahan mereka. Bukan sekadar emosi yang akan mati selepas sehari dua, tetapi kemarahan yang didasari oleh hujah dan bukti. Kita akan terus teguh begini sehinggalah para pimpinan sedar dan akan bangkitlah orang-orang yang tidur, pemalas dan manusia yang lalai dari kalangan umat ini memainkan peranan mereka. Demi Allah jika kita berterusan menunjukkan pendirian kita dan berdiri teguh, tidak ada jalan lain bagi musuh selain dari mengubah pendirian mereka. Musuh ini tidak akan mampu dikalahkan kecuali dengan kekuatan. Inilah kekuatan yang terbesar. Kekuatan ini melebihi kekuatan peluru berpandu dan bom. Umat mesti berdiri teguh. Musuh akan tahu dengan siapa mereka berhadapan dan berinteraksi jika umat menunjukkan kemarahannya.

Kita juga perlu mengingatkan umat tentang kewajipan mereka memberikan sumbangan kewangan untuk membangunkan kawasan ini dan sebagai duit sara hidup pejuang-pejuang yang mempertahankannya. Di sana terdapat sekelompok manusia yang mana bangun dan tidur mereka tidak ada perkara lain yang mereka fikirkan kecuali untuk mempertahankan al-Aqsa dengan jasad dan ruh mereka. Kepentingan peribadi mereka terabai. Tiada apa yang mereka lakukan untuk anak-anak dan keluarga mereka. Semua ahli keluarga bersabar menanggungnya dan berkorban untuk itu. Mereka memerlukan wang. Kita perlu mengingatkan umat tentang kewajipan mereka untuk memberi sumbangan kewangan. Bahkan sebenarnya ia bukan sumbangan, sebaliknya ia adalah kewajipan kewangan. Sesungguhnya setiap orang Islam wajib mempertahankan agama Allah dengan dua perkara; nyawanya dan hartanya. Jika dia tidak mampu mempertahankan dengan nyawanya, lakukanlah denga hartanya dan gantikanlah bahagian nyawa tersebut dengan sumbangan tambahan harta yang lain. Dengan itu wajib ke atasnya dua bahagian; bahagian harta yang sepatutnya dan bahagian harta yang menggantikan bahagian nyawanya.

Mereka perlu mengingatkan semua orang Islam agar berdoa. Ambillah satu malam dari seminggu. Duduklah dan berdoa kepada Allah. Samada kanak-kanak atau orang tua. Samada orang-orang yang sihat atau orang-orang yang sakit, orang tua dan uzur. Berkumpullah selepas berbuka puasa. Selepas itu mereka solat dan berdoa moga Allah mengeluarkan umat dari bencana ini dan moga musuh Allah yang menyangka bahawa mereka raja dunia dan segala isinya serta lupa kekuatan Allah akan menerima balasannya

“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang membinasakan kaum Aad yang pertama (kaum Nabi Hud).” (Al-Najm: 50).

Ayat ini menunjukkan adanya kaum Aad kedua, ketiga dan keempat. Allah maha berkuasa atas segala sesuatu.

“Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat dari kami?” dan (mengapa mereka bersikap demikian?) tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).” (Fushilat: 15)

Saya berdoa kepada Allah wahai saudara-saudara sekelian agar kalimat ini memberikan manfaatnya. Moga-moga Allah menerima amalan kita, memaafkan kesalahan dan mengampunkan segala dosa.

Saya sudahi kata-kata ini dan saya memohon ampun dari Allah bagi diri saya dan kamu semua. Selawat dan salam ke atas Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Segala puji bagi Allah. Moga-moga Allah membalas kebaikan kepada kamu semua.”

Friday, April 18, 2008

Al-Quran



Wednesday, March 26, 2008

Subhanallah..Air Sungai vs Air Laut...


Perhatikanlah oleh kita semua, bahawa Allah tidak menjadikan segalanya dengan sia-sia kecuali untuk menjadi ikhtibar dan pengajaran untuk kita semua...

Apalah salahnya kita berlainan fahaman politik, atau berlainan agama sekalipun tetapi tetap hidup harmoni dan bertolak ansur...seperti 2 keadaan, air laut dan sungai yang berbeza, masin dan tawar tetapi tetap harmoni membawa ombak dan arus ke pantai saban hari...

Dah banyak AllahS.W.T beri kita pengajaran supaya kita berfikir... Perhatikanlah sejarah berlakunya fitnah besar ke atas Islam semasa zaman Pemerintahan Saidina Ali. Dimana Muawiyyah menentang Ali dan mengatakankan Ali kufur atas nas-nas Al-Quran yang disalah ertikan. Kemudian saudara-saudara seagama kita berpecah belah dan akhirnya berbunuh-bunuhan dalam Perang Siffin.Melahirkan fahaman-fahaman yang berbeza...Semua ini adalah kerana kita tidak bertolak ansur dan menghormati antara satu dengan yang lain.

Sedarlah wahai saudara ku... sahabat-sahabat ku...


Allah telah berfirman dalam surah ali-imran ayat 19,maksudnya...

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya"

Kembalilah kepada jalan Allah, agama yang benar disisi Allah adalah islam...Amalkanlah Islam kerana sesiapa yang kufur akan ajaranNya akan mendapat balasan yang setimpal..Itula janji Allah S.W.T...

Apalah sangat kedudukan di dunia ini, dibandingkan kedudukan disisi Allah kelak...Air Sungai dan Laut juga makhluk Allah tetapi mereka taat akan perintahNya apatah lagi kita sebaik-baik ciptaanNya...Fikir-fikirkan.Wallahua'lam..


Wednesday, March 19, 2008

Cinta Ahli Sufi - Rabiatul Adawiyyah

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan- Mu.

“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan- Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat
kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri!
Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah
diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api, hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah
perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal.