Monday, May 26, 2008

Palestin dan Seluruh Umat Islam

WASIAT DR. SAYYID NUH BERKENAAN ISU PALESTIN




Sejak 15 Mei yang lalu, telah genaplah 60 Tahun Nakbah (bencana/malapetaka besar) yang berlaku di Palestin. Hal ini telah menunjukkan kepada kita betapa sedikitnya usaha kita dalam membantu pembebasan rakyat Palestin. Di sini ada dinukilkan wasiat Dr. Sayyid Nuh berkenaan isu Palestin sebelum beliau kembali ke rahmatullah untuk dijadikan pedoman buat diri kita dan seluruh umat Islam khususnya. Hayatilah wasiat ini dengan sepenuh jiwa dan perasaan serta dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

“Al-Aqsa adalah amanah di atas leher umat ini bermula sejak peristiwa Rasulullah s.a.w. isra’ dan mikraj. Ia adalah amanah yang kita tanggung dan kita masih menanggungnya. Sebarang kecuaian di dalam amanah ini akan membuka pintu kejahatan yang tiada batasnya di dunia. Ada pun di akhirat kita akan ditanya oleh Tuhan, Empunya segala kemuliaan tentang ilmu yang kita ketahui dan kewajipan kita terhadap al-Aqsa.

“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka semuanya (pada hari kiamat kelak) terhadap apa yang mereka ketahui.” (Al-Hijr: 92).

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba di hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara; Tentang umurnya ke mana dihabiskan? Tentang masa mudanya ke mana dihabiskan? Tentang hartanya dari mana hasilnya dan ke mana dibelanjakan? Tentang ilmunya apa yang diamalkan dari ilmu itu.” (Riwayat Tobroni)

Saya berharap agar kamu meletakkan perhitungan terhadap apa yang akan saya katakan. Saya tahu kamu mengetahuinya tetapi saya hanya ingin mengingatkan sahaja.

Saya mengingatkan kamu semua tentang kewajipan menerangkan kepada manusia nilai al-Aqsa, kedudukannya di dalam jiwa umat dan kewajipan umat terhadapnya. Jangan jemu jika kamu terpaksa memberikan ceramah sekali atau dua kali atau tiga kali, khutbah sekali atau dua kali atau tiga kali dan kelas pengajian sekali atau dua kali atau tiga kali. Apa yang penting adalah kamu mesti bersungguh-sungguh menerangkan isu ini sehingga manusia mengetahui nilai al-Aqsa.

Kamu mesti menerangkan kepada manusia bahaya yang menunggu jika kita kehilangan al-Aqsa dan Palestin. Pintu kejahatan akan terbuka. Negara, harta, jiwa dan maruah umat Islam akan dicabuli di hadapan musuh perampas yang tidak akan merahmati sesiapa pun. Umat Islam mesti memahami bahaya tersebut. Selagi mana mereka tidak memahaminya, mereka tidak akan bergerak dan tidak akan bangun menunaikan tanggungjawab mereka.

Perlu disedarkan para pemerintah. Mereka adalah orang-orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri mereka dan diri anak-anak umat ini dan terhadap bumi yang suci. Tanggungjawab mereka berat di hari kiamat nanti. Mereka perlu bersegera menunaikan tanggungjawab ini. Kita perlu mengingatkan mereka bahawa walau pun mereka berlembut dan berdiplomasi dengan musuh dan mengorbankan agama ini, akhirnya mereka akan dipijak juga oleh kaki musuh. Itu yang akan berlaku selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Allah dan tidak berusaha untuk memelihara bumi yang suci ini.

Saudara-saudara kita mesti berkata kepada umat Islam: “Tunjukkan kemarahan anda sekarang.” Jika kemarahan ini tidak ditunjukkan sekarang, bila ianya akan ditunjukkan? Demonstrasi adalah hak yang dibenarkan bagi semua bangsa di dunia. Umat Islam mesti menunjukkan kemarahan mereka. Bukan sekadar emosi yang akan mati selepas sehari dua, tetapi kemarahan yang didasari oleh hujah dan bukti. Kita akan terus teguh begini sehinggalah para pimpinan sedar dan akan bangkitlah orang-orang yang tidur, pemalas dan manusia yang lalai dari kalangan umat ini memainkan peranan mereka. Demi Allah jika kita berterusan menunjukkan pendirian kita dan berdiri teguh, tidak ada jalan lain bagi musuh selain dari mengubah pendirian mereka. Musuh ini tidak akan mampu dikalahkan kecuali dengan kekuatan. Inilah kekuatan yang terbesar. Kekuatan ini melebihi kekuatan peluru berpandu dan bom. Umat mesti berdiri teguh. Musuh akan tahu dengan siapa mereka berhadapan dan berinteraksi jika umat menunjukkan kemarahannya.

Kita juga perlu mengingatkan umat tentang kewajipan mereka memberikan sumbangan kewangan untuk membangunkan kawasan ini dan sebagai duit sara hidup pejuang-pejuang yang mempertahankannya. Di sana terdapat sekelompok manusia yang mana bangun dan tidur mereka tidak ada perkara lain yang mereka fikirkan kecuali untuk mempertahankan al-Aqsa dengan jasad dan ruh mereka. Kepentingan peribadi mereka terabai. Tiada apa yang mereka lakukan untuk anak-anak dan keluarga mereka. Semua ahli keluarga bersabar menanggungnya dan berkorban untuk itu. Mereka memerlukan wang. Kita perlu mengingatkan umat tentang kewajipan mereka untuk memberi sumbangan kewangan. Bahkan sebenarnya ia bukan sumbangan, sebaliknya ia adalah kewajipan kewangan. Sesungguhnya setiap orang Islam wajib mempertahankan agama Allah dengan dua perkara; nyawanya dan hartanya. Jika dia tidak mampu mempertahankan dengan nyawanya, lakukanlah denga hartanya dan gantikanlah bahagian nyawa tersebut dengan sumbangan tambahan harta yang lain. Dengan itu wajib ke atasnya dua bahagian; bahagian harta yang sepatutnya dan bahagian harta yang menggantikan bahagian nyawanya.

Mereka perlu mengingatkan semua orang Islam agar berdoa. Ambillah satu malam dari seminggu. Duduklah dan berdoa kepada Allah. Samada kanak-kanak atau orang tua. Samada orang-orang yang sihat atau orang-orang yang sakit, orang tua dan uzur. Berkumpullah selepas berbuka puasa. Selepas itu mereka solat dan berdoa moga Allah mengeluarkan umat dari bencana ini dan moga musuh Allah yang menyangka bahawa mereka raja dunia dan segala isinya serta lupa kekuatan Allah akan menerima balasannya

“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang membinasakan kaum Aad yang pertama (kaum Nabi Hud).” (Al-Najm: 50).

Ayat ini menunjukkan adanya kaum Aad kedua, ketiga dan keempat. Allah maha berkuasa atas segala sesuatu.

“Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat dari kami?” dan (mengapa mereka bersikap demikian?) tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).” (Fushilat: 15)

Saya berdoa kepada Allah wahai saudara-saudara sekelian agar kalimat ini memberikan manfaatnya. Moga-moga Allah menerima amalan kita, memaafkan kesalahan dan mengampunkan segala dosa.

Saya sudahi kata-kata ini dan saya memohon ampun dari Allah bagi diri saya dan kamu semua. Selawat dan salam ke atas Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Segala puji bagi Allah. Moga-moga Allah membalas kebaikan kepada kamu semua.”

Friday, April 18, 2008

Al-Quran



Wednesday, March 26, 2008

Subhanallah..Air Sungai vs Air Laut...


Perhatikanlah oleh kita semua, bahawa Allah tidak menjadikan segalanya dengan sia-sia kecuali untuk menjadi ikhtibar dan pengajaran untuk kita semua...

Apalah salahnya kita berlainan fahaman politik, atau berlainan agama sekalipun tetapi tetap hidup harmoni dan bertolak ansur...seperti 2 keadaan, air laut dan sungai yang berbeza, masin dan tawar tetapi tetap harmoni membawa ombak dan arus ke pantai saban hari...

Dah banyak AllahS.W.T beri kita pengajaran supaya kita berfikir... Perhatikanlah sejarah berlakunya fitnah besar ke atas Islam semasa zaman Pemerintahan Saidina Ali. Dimana Muawiyyah menentang Ali dan mengatakankan Ali kufur atas nas-nas Al-Quran yang disalah ertikan. Kemudian saudara-saudara seagama kita berpecah belah dan akhirnya berbunuh-bunuhan dalam Perang Siffin.Melahirkan fahaman-fahaman yang berbeza...Semua ini adalah kerana kita tidak bertolak ansur dan menghormati antara satu dengan yang lain.

Sedarlah wahai saudara ku... sahabat-sahabat ku...


Allah telah berfirman dalam surah ali-imran ayat 19,maksudnya...

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya"

Kembalilah kepada jalan Allah, agama yang benar disisi Allah adalah islam...Amalkanlah Islam kerana sesiapa yang kufur akan ajaranNya akan mendapat balasan yang setimpal..Itula janji Allah S.W.T...

Apalah sangat kedudukan di dunia ini, dibandingkan kedudukan disisi Allah kelak...Air Sungai dan Laut juga makhluk Allah tetapi mereka taat akan perintahNya apatah lagi kita sebaik-baik ciptaanNya...Fikir-fikirkan.Wallahua'lam..


Wednesday, March 19, 2008

Cinta Ahli Sufi - Rabiatul Adawiyyah

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan- Mu.

“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan- Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat
kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri!
Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah
diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api, hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah
perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal.

Tuesday, March 4, 2008

10 SIFAT YANG DIKEJI ALLAH..( SIFAT MAZMUMAH )

SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:


1. Gelojoh ketika makan
----------------------------
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan
ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.


2. Banyak bercakap
---------------------
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia,
fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah
-----------------------
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas
kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun,
mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki
----------------
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala kebaikan' (riwayat Muslim).

5. Kedekut & bakhil
---------------------
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun
banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari
membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.


6. Bermegah-megah
---------------------
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia
-------------------
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: "Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari." (riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong
-----------------------
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri
----------------------------------
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak
-----------------------------------
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang
dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.


Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk
dalam kategori melakukan dosa besar.

Thursday, January 17, 2008

CINTA sebelum kahwin menghampiri Zina...

1. Kami tidak berzina!
- Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menhampiri zina.

2. Kami hanya bebual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum.. adakah menhampiri zina ?
- Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah penzinaan.

3. Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat kearah itu ….
- Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengenai sasaran. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula terlupa. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Adam dan Hawa ? Iblis amat licik. Pengalaman banyak, Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan Rasulullah: Jangan engakau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan ( H Tabrani ). Syaitan akan menghembuskan nafas berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

4. Tidak semstinya semua orang bercinta menjurus kepada perzinaan. Ada yang hanya bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja dan tak pernah bersua pun!!
- Betul! Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat launnya desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis, akanmengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya??

5. Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke ?
- Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinnyatakan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya berjalan (menuju ke tempat dating) . Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman ( hari Muslim dan Abu Daud) Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada perzinaan.

6. Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!
-Berdiskusi pelajaran, betul ke ? jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba- hambaNYA. Kita belajar nak cari keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun,kalau tidak di berkati oleh Allah,kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebih lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan di tulis oleh malaikat Raqib dan Atid?

7. Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni “ study group”
- Study Group..? Nampak lain macam sahaja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua saja. Kalau ya pun, carilah study group yang ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni..betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu dihabiskan dengan fantasi cinta!

8. Tidaklah, sungguh berbincang pelajaran.
-Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia yang ada nafsu.

9. Kami sama-sama belajar,study group, saling memberi semangat dan motivasi..
- Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat,banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan,tidak terganggu,dapat berkat dan rahmat pula.

10. takkan tak ada ruang langsung dalam ISLAM untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?
- Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri iti tidak wujud pada diri seseorang,tak normal namanya. Islam bukan dating membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak akan melakukan perkara yang dilakukan oleh paderi dan sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu dating tanpa dinudang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nakurinya. Jagan jadi malaikat! Kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan seisinya akan hambar tanpa naluri/ nafsu.

11. Tentu ada cinta secara Islam.
- Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku stelah ijab dan qabul; Cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan kudus. Cinta bermaruah,bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentu ia digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa “sesuatu” yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W : “ Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. ( hari Ibni Majah).Cinta adalah maruah manusia, Ia terlalu mulia.

12. Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri kepada penzinaan?
-Ya. Kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan terusik. Kemudian perasaan dilayan,kemudian teringat, rindu. Kemudian di atur pertemuan, kemudian duduk berdua-duaan, kemudian mencari tempat sunyi sedikit, kemudian berbual sehingga malam gelap. Hubungan semakin akrab, dah pegang tangan, duduk semakin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam… Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibubapa yang telah melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun.

13. Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji..
-Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauihi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang

14. Jadi manusia itu tak tahan di uji??
-Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak akan tahan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan Satu peristiwa untuk iktibar bagi manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh dimakan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan Nya, manusia tak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok khuldi itu . Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi tersebut. Tetapi Allah tahu sifat kelemahan Adam dan Hawa. Jika mereka menghampiri tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina, di tegah berzina. Maka,jalan kerah penzinaan itu juga di larang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan,kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar dari pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

15. Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum buat keputusan untuk berkahwin.
-Bolehkah kita percaya dengan perwtakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai2 lagi. Masa cinta adalah lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk aka nada yang pujuk. Banyak orang dah kecewa kerna tertipu dengan kepribadian semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza, macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang,penyabar. Tapi bila dah kahwin,lewat lima minit dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah sesuatu kepuraaan atau hipokrit.

16. Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.-Bagaimana di harap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba NYA yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu jika jalan mencapai keredhaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan berumahtangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tetntu prosesnya bukan bercinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapatkan keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung,bagaimana kesudahannya??

17. Tanya sedikit..adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke ? ganti bercinta…
- Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru,kulitnya Nampak berlainan,tetapi isinya tetap sama. Adik angkat,kakak angkat, abang angkat adalah satu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya ‘angkat’ ini sebenarnya telah masuk kedalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk di korbankan. Namakan apa sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan ke akhirnya akan bertemu dengan zina.

18. Jadi, seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?
- mengukur maruah diri bukan dengan ditentukan oleh manusia, tetapi oleh pencipta manusia. Sebab ukuran manusia berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk cinta akan menyatakan oaring yang sedang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga dirinya, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci itu. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah di tentukan oleh Allah.

19. Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
- Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah menggadai maruahnya kerana mereka mengahmpiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman: “ Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan peremoaun yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman” ( Surah An Nur:3) Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuia untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah ianya satu penghinaan Tuhan ??

20. Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?
- Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

21. Kami telahpun berjanji sehidup semati…
-Apa ada pada janji setia cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang.

22. Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab..
- Tahukah hati budi lelaki:? Sejahat mana lelaki apabila mengambil wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok, suka berfoya-foya, lelaki biasanya memilih perempuan murahan kerana itu suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

23. Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
- tentu, mana ada lelaki yang normal suka pada barang “second hand” sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka akan menggambarkan perempaun seperti kereta yang diletakkan di show room sahaja; display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula kata; sekadar sepinggan mee goring dan sgelas sirap, bawalah kehulu-hilir. Sedihkan?? Itulah hakikatnya..

24. Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini ?
- Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti,mereka ada pasangannya. Firman Allah: “Dan orang2 lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempaun yang memelihara kehormatannya. Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. ( Al- Ahzab: 35)

25. Bagaimana kami ?
- Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon kemapunan dari Nya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha NYA.

26. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha?
- Taubat yang murni, taubat yang sebenar-benarnya, taubat yang memenuhi 3 syarat:
a) Tinggalkanlah perbuatan maksiat. Putusakanlah hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
b) Menyesal. Menginsafi diri di atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
c) Berazam. Bertekad didalam hati tidak bercinta lagi dengan sesiapa yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah slepas ijab qabul.

Ya Allah, hambamu telah tersesat jalan, ampunilal dosa-dosa hamba Mu ini. Sesungguhnya engkau maha pengampun dan penerima taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkanlah diriku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan ahklak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jaga diriku sedari kecil dengan kasih saying. Mengapa ku curahkan kasih itu kepada orang lain. Oh Tuhan,hamba Mu berdosa.

Kita berpisah kerana Allah, kalau ada jodoh tidak kemana!!